Perihal Kemenangan yang Nyata






A001

Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad)
satu jalan kemenangan yang jelas nyata,


1. Semalam di negeri Cik Siti Wan Kembang aka Serambi Mekah telah berlaku satu drama perebutan bangunan hartanah di antara 2 parti politik. Di khabarkan pertikaian telah sampai ke tahap cabaran di mahkamah syariah (bahagian harta pusaka) dan juga mahkamah sivil (tuntutan hak milik)
 
2. Salah satu pihak yang bertelagah telah mengadakan perhimpunan di hadapan hartanah terbabit dan menyeru supaya ahli-ahli mereka berkumpul bersama-sama untuk memacakkan bendera parti berkenaan sebagai tanda yang hartanah tersebut sudah menjadi milik mereka
 
3. Salah seorang pemimpin muda parti berkenaan  telah berucap dan di dalam ucapan nya beliau membaca ayat pertama dari surah Al-Fath yang bermaksud Allah s.w.t sudah membuka jalan kemenangan bagi perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dengan kemenangan yang nyata. Saya tidak begitu pasti konteks ayat ini dengan pertikaian yang berlaku, tetapi saya mengandaikan bahawa pemimpin berkenaan membuat andaian bahawa perjuangan parti mereka sudah hamper mencapai kemenangan yang nyata dengan penguasaan hartanah yang terbabit
 
4. Adakah Surah Al-Fath membawa maksud begitu? adakah kemenangan yang nyata itu adalah dengan menguasai sesuatu hartabenda secara fizikal atau kita dapat melunaskan apa juga yang kita kehendaki dengan jalan kekerasan ? atau kemenangan yang nyata itu apabila kita dapat menakluki dan mengalahkan musuh kita ?
 
5. Sebagai makluman, Surah Al-Fath turun kalamana umat islam seramai kira-kira 1,400 lebih bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w dalam perjalanan pulang dari Mekah ke Madinah selepas mencapai perjanjian dengan kaum kuffar Mekah di dalam perjanjian Hudaibiyah yang dikatakan berat sebelah oleh kebanyakkan para sahabat ketika itu
 
6. Tujuan utama 1,400 orang lebih umat Islam ketika itu yang mengembara dari Madinah ke Mekah adalah untuk mengerjakan ibadah Umrah selepas Baginda Rasul melihat di dalam mimpinya yang Baginda membawa para sahabat dan Umat Islam mengerjakan haji di Baitullah
 
7. Dipendekkan cerita, rombongan umat Islam telah dihalang daripada mengerjakan umrah pada tahun itu, malah duta umat Islam iaitu Saiyidina Uthman pula ditahan oleh golongan Quraisy sehingga timbul berita yang beliau telah dibunuh. Ini membuatkan Baginda Nabi mengambil taat setia dikalangan umat Islam untuk menuntut bela atas pembunuhan Uthman (sekiranya ia berlaku)
 
8. Setelah didapati bahawa khabar tersebut adalah tidak benar dan golongan Quraisy telah menghantar pemuka mereka iaitu Suhail Bin Amr untuk mengadakan perundingan dan perjanjian dengan umat Islam, Baginda Rasul telah memenuhi permintaan mereka antara lain termasuklah, umat Islam tidak boleh mengerjakan umrah pada tahun tersebut, Golongan Quraisy yang melarikan diri dari Mekah ke Madinah hendaklah dipulangkan kembali, malah Nama Nabi sebagai Rasullullah juga turut tidak diiktiraf oleh golongan Quraisy di dalam perjanjian ini
 
9. Malah apabila Nabi mengarahkan para sahabat menanggalkan pakaian ihram mereka, para sahabat pada mulanya enggan untuk menanggalkan pakaian ihram, bercukur dan menyembelih binatang korban sehinggalah Baginda sendiri yang berbuat demikian terlebih dahulu
 
10. Jelas surah ini tidak langsung menggambarkan bahawa kemenangan itu adalah semestinya melalui jalan penguasaan harta-benda, pergaduhan atau pertumpahan darah seperti yang digambarkan oleh pemimpin muda parti yang berkaitan, sebaliknya ia menekankan perihal kesabaran dan disiplin malah mengelakkan pertembungan secara kekerasan dengan pihak lawan
 
11. Sementelahan pula, kelompok yang lagi satu juga adalah saudara seagama mereka, jiran-jiran mereka, malah mereka pernah bersama-sama di dalam satu Jemaah, mana mungkin menggambarkan bahawa kemenangan yang nyata bakal menjadi milik mereka. Malah di dalam kes Hudaibiyah ini Allah menjelaskan bahawa salah satu sebab Allah menahan tangan-tangan Musyrikin dan Muslimin dari berperang adalah kerana dibimbangi akan ada golongon muslimin yang beriman secara diam-diam di Mekah akan turut terbunuh sekiranya peperangan berlaku ketika itu, Ini akan membawa dukacita juga kepada golongan Muslimin walau Allah sudah memberi kepastian bahawa Umat Islam pasti akan menang keatas golongan kafir Quraisy sekiranya perang berlaku
 
12. Puak-puak agamawan seperti ini perlu lebih cermat di dalam mengendalikan sebarang perbalahan baik sesame umat Islam atau bukan Islam. Perlu ditonjolkan bahawa Islam adalah agama yang menitik beratkan Kesabaran, Disiplin, Toleransi dalam mengendalikan apa juga situasi, bukannya menyimbah api kemarahan dan kesumat!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Kepada Najib & Muhyiddin: Yang Mana Satu ? 1Malaysia OR Ketuanan Melayu UMNO ?

Utusan Malaysia & Zaini Hassan : Memalukan Bangsa Melayu

Pemikiran Bahaya Mokhtar Senik